Sunday, 29 March 2015



TANGAN saya kiam. Tubuh saya kaku dan mulut saya bisu. Saya cuba gerakkan anak-anak jari tetapi langsung tidak boleh menguit. Tubuh pula dibungkus kain kapan dan saya sedang terbaring dalam liang lahad. Beberapa biji tanah kepal diletak di bawah kepala.
Kubur yang saya diami itu terasa amat sempit dan tidak selesa. Hanya anak mata saya saja boleh bergerak-gerak ke kiri dan kanan serta menjeling ke hujung kaki, manakala badan kaku bagai diikat dan dihimpit sesuatu.
Saya ternampak tali yang mengikat kain kapan di hujung kaki sudah terurai. Saya cuba meronta-ronta, tidak berjaya.
Saya cuba menjerit, suara saya tidak terkeluar. Saya menyesal kerana banyak melakukan dosa semasa di dunia. Paling saya kesal dosa saya memukul dua orang guru yang pernah mendidik saya.

Saya pernah tampar seorang guru hanya kerana mereka berkasar dengan saya. Begitu juga saya pernah pukul seorang lagi guru di sebuah sekolah berasingan atas alasan yang sama. Perbuatan itu amat saya kesali.

Kalau boleh hidup kembali ke dunia, saya ingin bertaubat dan memohon ampun kepada dua orang guru tersebut. Saya benar-benar berasa berdosa.

Tidak sedar saya menangis teresak-esak mengenangkan perbuatan lampau saya. Segala perbuatan saya itu berpunca daripada kebodohan saya menuntut ilmu sesat dengan seorang tok guru. Ilmu yang saya miliki itu menyebabkan saya jadi angkuh. Konon sayalah yang paling kuat.Sedang saya menangis mengenangkan dosa-dosa lampau itu tiba-tiba saya terdengar suatu suara yang sangat dahsyat, Suara itu lebih menggerunkan daripada segala jenis suara yang pernah saya dengar, termasuk suara hulubalang yang muncul ketika saya berguru. Suara yang satu ini lebih kuat daripada halilintar. Suara gempita ini belum pernah terdengar semasa berada di dunia.
Gema suara itu terus bergaungan. Memang hebat, tiada tolok bandingnya dengan apa jua jenis suara makhluk yang ada di muka bumi. Seluruh tulang-belulang di tubuh saya terasa renggang sejurus mendengar tempikan suara tersebut. Badan saya terasa hendak berkecai.

Sendi-sendi saya bagaikan hendak tercabut dari daging. Saya berasa teramat takut dan ngeri. Saya dapat merasakan tentu sekejap lagi saya akan disoal malaikat Munkar dan Nakir yang bertanggung jawab menyoal mayat di alam kubur.

Apa jawapan yang hendak saya beri? Apa amalan yang saya ada? Saya pernah belajar ilmu sesat. Dosa itu dosa besar! Dosa saya dengan manusia banyak. Saya pernah tampar dua orang guru.Seketika kemudian saya terdengar lagi suara dahsyat itu bergema-gema bertempik lebih dahsyat daripada guruh.
Hati saya berasa seronok mendengar jaminan itu. Saya bersyukur dapat hidup lagi di dunia tetapi mengapa saya tidak boleh bangun? Tubuh saya masih tidak dapat bergerak-gerak. Sedang saya memikirkan keadaan diri, saya terdengar lagi suara bergema-gema yang lebih dahsyat daripada halilintar.

"Malekkkkkkkkkkkkkk!" suara itu memanggil menyebabkan badan saya terasa seperti hendak berkecai. "Engkau diberi izin kembali ke dunia dengan syarat, khabarkan kepada seluruh manusia di atas muka bumi bahawa suara aku ini tidak akan tertahan didengar oleh seluruh manusia, itu belum lagi aku memberi seksa di dalam kubur!"

Saya terasa takut yang amat sangat. Ngeri mendengar tempikan suara tersebut. Saya terbayangkan panasnya api marak menyala, bisa ular, jengking dan segala haiwan berbisa serta seksaan demi seksaan yang menakutkan di alam barzakh.
"Ya Allah aku bertaubat. Aku bersetuju dengan syarat tersebut tetapi mengapa tubuhku ini masih tidak boleh bangun! Kenapa aku masih dalam liang lahad?"

Kemudian saya terdengar lagi suara itu bergema-gema.

"Malekkkk!" Jangan tinggalkan sembahyang lima waktu. Jangan buat apa yang dilarang Allah dan jangan menghalalkan apa yang diharamkan Allah!"

Berkali-kali saya membuat pengakuan bersumpah dengan nama Allah bahawa tidak akan melakukan perkara yang dilarang itu dan mengikut segala suruhan-Nya. Saya menangis tidak berhenti-henti kerana takutkan azab Allah. Saya amat takut jika diazab Munkar dan Nakir.

Saya tahu saya memang berdosa. Saya belajar ilmu syirik tapi segala barangan yang saya pernah belajar seperti azimat, tangkal dan minyak penunggu telah saya buang ke Sungai Pengkalan di Alor Gajah, Melaka.

Saya berazam tidak akan disesatkan lagi oleh hulubalang yang menjadi pendamping saya. Hulubalang itu bukan pendamping nabi-nabi seperti yang diajar guru ajaran sesat itu. Tetapi hulubalang itulah jin Ifrit yang menyesatkan manusia seperti diberitahu pak cik yang mengubat saya.

Saya sedar malaikat-malaikatlah yang menjaga para nabi dan rasul bukan hulubalang, jin Ifrit atau hantu. Selama ini saya buta melihat kebenaran. Sekarang saya tahu syaitan, jin Ifrit adalah makhluk paling jahat di muka bumi.

Semasa sedang meratapi nasib, tiba-tiba saya mendapati saya sudah berada di suatu kawasan perkuburan di Kampung Jelatang. Tubuh saya masih dibaluti kain kapan. Saya bersyukur dapat hidup semula dan kembali ke dunia. Saya tidak sabar-sabar lagi hendak balik ke rumah dan menemui ibu saya.

Saya terus berjalan kaki di kawasan perkuburan mencari-cari jalan pulang ke rumah. Semasa berjalan itu saya bertemu beberapa orang penduduk kampung.

Mereka terjerit-jerit berkata: "Hantu! Hantu!" Ada yang berkata: "Eh! Malek hidup balik! Malek hidup balik!"

Lalu saya beritahu penduduk yang saya belum mati lagi tetapi Allah Taala izinkan saya hidup semula! Ketika itu saya bercadang hendak bercerita peristiwa yang saya lalui di alam kubur.

Saya juga bercadang hendak menceritakan tentang suara gempita lebih dahsyat daripada halilintar yang saya dengar dalam liang lahad tetapi saya takut diketawakan.

Saya berasa hendak menghebahkan suruhan jangan tinggal sembahyang, jangan buat perkara-perkara haram dan jangan menghalalkan apa yang haram yang dipesan oleh suara itu tetapi takut orang kampung tidak percaya.

Saya khuatir orang akan menuduh saya gila. Fikiran saya ketika itu teringat surah al-Fatihah dan saya terus baca sampai habis.

"Bismillahir Rahman Nirrahim. Alhamdulillah hirabbil a'lamin..."

Selepas habis membaca al-Fatihah barulah orang kampung berani mendekati saya. Orang kampung berkata: "Betullah Malek hidup semula!"

Saya terus berjalan dan singgah di rumah seorang bapa saudara bernama Pak Lang Syarif. Pak cik saya itulah yang membantu membukakan kain kapan.

Pak Lang Syarif berkata: "Pak Lang percaya engkau masih hidup, bukan hantu!"

Setelah kain kapan dibuka, automatik saya terjaga. Saya memandang sekeliling. Saya tidak lagi berada dalam liang lahad, perkuburan atau kampung saya di Melaka, tapi di atas katil rumah baru kami di Petaling Jaya. Bila saya tertidur? Entah. Seingat saya sebelum itu saya berehat di katil, tapi kemudian tiba-tiba saja berada di dalam liang lahad. Tangan saya sekarang boleh menguit-nguit. Nafas saya tercungap-cungap. Dada saya berdebar.

Saya terus ceritakan mimpi menggerunkan itu pada mak, Salmah Manaf. Tubuh mak menggeletar apabila mendengar mimpi dahsyat yang saya alami.

Saya cuba ceritakan kisah yang terjadi dalam liang lahad sampai habis tetapi tidak berdaya. Saya sebak dan menangis. Saya betul-betul takutkan azab Allah. Tubuh saya masih menggigil mengenangkan apa yang telah berlaku.

Saya ceritakan pada mak saya pernah belajar ilmu sesat. Saya pernah buang barang-barang seperti tangkal dan minyak dalam sungai. Mak terkejut apabila mendengar cerita saya itu.

Saya tunaikan sumpah saya semasa bermimpi dalam liang lahad. Saya temui dua guru saya yang pernah saya tampar dan pukul. Saya peluk guru saya dan meminta maaf daripada mereka berdua. Saya benar-benar berubah selepas peristiwa itu.

Tetapi adatlah sebagai seorang manusia, iman tidak selalu kuat, ada pasang surutnya. Manusia selalu lupa pada janji. Apabila saya melakukan kesilapan saya terdengar kembali suara bergema-gema yang sangat dahsyat mengingatkan saya semula.

"Malekkkkldtkklddtkkkkkkkkkkk!!! Ingattttttttttttttttttttttttttttttt!!!"

Tiga kali suara yang lebih dahsyat daripada halilintar itu memberi peringatan kepada saya setiap kali saya cuba membuat dosa dan kesilapan. Selepas itu saya tidak terdengar lagi suara tersebut sampai sekarang.

Kesan daripada terdengar suara yang amat dahsyat itu saya susah untuk terperanjat jika terdengar bunyi petir, halilintar atau bunyi mercun berdentum-dentam.

Suara yang saya dengar di dunia, walau kuat macam mana pun, langsung tidak menggetarkan perasaan saya. Suara yang saya dengar dalam mimpi itu lebih dahsyat, bergempita tiada tolok bandingnya. Kalau manusia di dunia ini mendengar suaranya nescaya boleh menggelepar di situ juga dan terus mati.

Alhamdulillah, saya sudah habiskan cerita yang paling menakutkan dalam hidup saya. Saya betul-betul lega. Saya sudah sampaikan apa yang wajib saya cerita pada semua pembaca Mastika.

Andai kata pembaca Mastika menuduh cerita saya ini bohong atau untuk mencari publisiti, saya sanggup mati dipanah petir! Apa yang saya ceritakan ini sebagai menunaikan pesanan semasa saya bermimpi di dalam kubur.

Terpulanglah kepada pembaca hendak mempercayai cerita saya ini atau tidak. Yang penting saya sudah menyampaikannya kepada manusia lain. Soal bagaimana saya menjaga hukum-hakam dan amanah Allah selepas bermimpi itu biarlah ia menjadi rahsia diri saya sendiri.

Seperkara lagi saya hendak berpesan kepada pembaca. Renungkanlah kata-kata saya ini sebab sudah menjadi tabiat manusia mudah lupa. Apabila karam di lautan manusia akan berniat di hati, jika terselamat daripada lemas mereka akan menyembelih kambing untuk buat kenduri
kesyukuran.

Tetapi apabila perahu hampir-hampir ke daratan manusia itu bertukar niat untuk sedekah pisang. Malangnya sebaik kaki menjejaki pasir pantai sekali lagi niat bertukar, kali ini cuma hendak bersedekah kulit pisang bagi makan kambing! Manusia mudah lupa!

*******************************
Saya dalam cerita di atas ialah Abdul Malek Jantan, 49. Mimpi menggerunkan yang dialaminya itu berlaku ketika dia berusia 18 tahun. Malek terpaksa menyimpan cerita ini selama 32 tahun kerana setiap kali dia hendak menghabiskan cerita dia tidak sanggup. Dadanya sebak. Badannya menggeletar. Seperkara lagi Malek takut bercerita pada individu yang tidak memahami bimbang mereka menganggap dia seorang yang tidak siuman.

No comments:

Post a Comment